PSV 3104

          1.           PERKEMBANGAN KURIKULUM PSV DI MALAYSIA
            PENDAHULUAN

              Pada masa ini, Pendidikan Seni Visual telah dimartabatkan sepenuhnya sebagai mata pelajaran yang berperanan besar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana mata pelajaran  ini merentasi kurikulum.Pendidikan Seni Visual(PSV) bermaksud proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman,penghayatan dan kritikan tentang perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid.

           Pendidikan Seni Visual pernah dikenali sebagai mata pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan.Setelah beberapa perubahan berlaku mengikut peredaran dan keperluan semasa, maka mata pelajaran tersebut telah ditukar menjadi Pendidikan Seni. Setelah beberapa tahun diperkenalkan,ia telah diubah pula menjadi  Pendidikan Seni Visual atas kesedaran  masyarakat terhadap kepentingan Pendidikan Seni Visual dalam kehidupan.Perubahan ini sesungguhnya amat sesuai sekali kerana Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah menjurus kepada seni tampak atau visual dan tidak merujuk  kepada seni lain seperti seni muzik, seni tari,seni teater , seni sastera, seni mempertahankan diri atau seni fotografi.

            Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat,memperkembang keperibadian,memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif,ekspresif dan aktif.Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual,imaginasi dan daya pemikiran.Kegiatan pemikiran,penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri.Pengalaman ini penting dalam membantu murid membina keyakinan diri,membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM PENDIDIKAN SENI VISUAL

           Perbincangan tentang perkembangan kurikulum Pendidikan Seni Visual di Malaysia tidak dapat lari dari perbincangan tentang perkembangan sistem pendidikan di Malaysia itu sendiri kerana Pendidikan Seni Visual mempunyai rentetan sejarah yang seiring dengan perkembangan sistem pendidikan di Malaysia.Ianya meliputi peringkat sebelum merdeka,awal merdeka , selepas merdeka sehinggalah sekarang.Ianya juga sangat berkait rapat dengan kelahiran institusi seni dan kemunculan pertubuhan seni lukis
serta perkembangan seni halus di Malaysia.

Pendidikan Sebelum Merdeka

           Sebelum kedatangan kuasa penjajah ,pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kognitif pelajar-pelajar.Corak pendidikan yang ada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-Quran,tingkah laku dan akhlak yang baik,pengetahuan
kerohanian dan seni mempertahankan diri.Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraf tangan  serta perintis dalam bidang pertanian,perikanan dan pemburuan. Pendidikan Melayu yang awal menekankan pengajaran al-Quran dan pengetahuan asas membaca,menulis,dan mengira(3M) dan diadakan di peringkat yang rendah sahaja.Jika ada anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi dan   ingin menyambung pelajaran,maka mereka terpaksa memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar.  

            Tujuan utama Sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 adalah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal di desa dan mewarisi kemiskinan keluarga.Oleh itu ,pendidikan yang berbentuk sekular dalam bahasa Melayu dihadkan kepada empat tahun sahaja dengan skop dan kokurikulum yang terhad.Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah  cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti menegak dalam kalangan masyarakat Melayu.
                Berdasarkan Laporan Winstedt,”Tujuan sekolah Melayu menurut Penyata Pelajaran tahunan Negeri-negeri Selat 1885 adalah;Cukup untuk kehendak-kehendak biasa budak-budak Melayu,yang kelak akan menjadi pemandu kereta lembu,penanam padi dan nelayan.Tujuan kerajaan bukanlah untuk mewujudkan segelintir pemuda yang berpendidikan baik.Pelajaran untuk orang Melayu tidak boleh melewati batasan,kerana ia akan menimbulkan kesulitan nanti.Pada tahun 1916,Laporan Winstedt memperkemas sistem pendidikan rendah di Tanah Melayu.Sekolah Melayu dan maktab mengajar subjek  lukisan.Anyaman diletakkan di bawah subjek Sains Pertanian.   
                 Selain itu,Laporan Winstetd (Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat) mencadangkan;Lukisan adalah mustahak untuk “Latihan yang amat baik memerhati alam” yang didapati darinya,dan ia dapat menimbulkan minat dan kecerdasan murid-murid dan melatih mereka ketepatan dan kecermatan.Dan ia menyesuaikan mereka dengan kerja-kerja mandur.Ia patut dimestikan dalam darjah 3 dan 4 dan menyediakan subjek Kerja tangan seperti membuat bakul.

                 Pada awal abad ke-20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap Pendidikan Menengah,Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model English Grammar School pada tahun 1905 ,tetapi
sekolah ini khas untuk golongan bangsawan sahaja.Pada tahun 1922,Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan bagi memberi  latihan perguruan dan semua  wajib mempelajari kesemua subjek termasuk lukisan,pertanian dan pertukangan.Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain.Sukatan Pelajaran yang digunakan ialah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama.Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh..Kerja –kerja tahun pertama disambung pada tahun kedua dan penggunaan rotan dan buluh
adalah lebih meluas lagi pada tahun ketiga.Buku teks yang digunakan ialah
“Kita Rajah-rajah Anyaman”oleh guru anyaman Mr.W.Olanguera.
Pada tahun 1929,guru-guru Melayu telah menggunakan Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua untuk mengajar pelbagai subjek termasuk Lukisan dan Pertukangan Tangan di sekolah-sekolah Melayu di seluruh tanah air pada masa itu.Kitab Pedoman Guru Penggal 1(1928) dan Penggal 2(1929) yang disusun oleh O.T.Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib adalah buku pertama yang ditulis di Malaya mengenai kaedah mengajar subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan.Buku ini sangat penting pada masa itu kerana kaedah mengajar Pendidikan Seni yang dirancang dari unsur-unsur yang senang sehinggalah kepada yang lebih susah.Pada tahun 1930,sistem persekolahan berjalan 4 jam sehari iaitu pukul  8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.Antara subjek yang diajar ialah Karangan,Ilmu Kira-kira,Ilmu Alam,Sejarah Melayu,Kesihatan,Lukisan,Menganyam dan berkebun dan Senaman.Anyaman dan berkebun adalah untuk menjadikan sistem Persekolahan Melayu lebih mirip kepada kampung.(anjuran R.O.Winstedt).

Perkembangan Pendidikan Awal Merdeka

            Selepas Perang Dunia Kedua,perkembangan politik negeri China, India,dan negara jiran mengalami banyak perubahan.Masyarakat pendatang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat kediaman mereka .Kebangkitan nasionalisme Melayu melihatkan tentang masalah kerumitan kaum dalam pendidikan.Orang Melayu mula mendesak supaya kerajaan membaiki mutu pendidikan di sekolah-sekolah  Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran.Sebuah jawatankuasa ditubuhkan  iaitu Jawatankuasa Barnes.Laporan Barnes ini diterbitkan pada awal tahun 1951.Laporan ini mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai  bahasa pengantar utamanya.Sekolah Cina dan Tamil akan ditukar secara beransur-ansur kepada sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan aliran Kebangsaan.Cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang Cina.Laporan Jawatankuasa Fen Wu telah memburukkan lagi pertikaian kerana menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu,bahasa Inggeris dan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
                      Pada Tahun 1960, Maktab Perguruan Ilmu  Khas Kuala Lumpur   telah     
           ditubuhkan bagi membentuk guru-guru   pakar dalam bidang masing-masing
           antaranya      menawarkan    kursus   Pendidikan Seni, Pendidikan   Jasmani,
           Pendidikan     Guru   Kelas    Buta   dan    Cacat   Pendengaran,   Kaunseling
           dan    Kerjaya,   Teknologi     Pendidikan     dan    sebagainya.Sebenarnya
           maktab ini merupakan sebuah sekolah seni lukis dan juga maktab latihan
           perguruan .  Peter  Harris telah mengendalikan kurikulum Jabatan Pendidikan
           Seni bagi latihan guru pada tahun 1961.Antara kakitangan awal MPIK ialah
           ialah Syed   Ahmad Jamal,  Yeoh Jin Leng, Anthony Lau , Lee Loo For,
           Cheong   Lai   Tong   dan   Jolly   Koh. Peter Harris kemudiannya diambil  
           Alih oleh Syed Ahmad Jamal dan seterusnya oleh Yeoh Jin Leng .Aspek
           –aspek  kepakaran seni  halus seni  grafik  dan  kraftangan diberi penekanan
          .Sukatan  Pelajaran   yang  ditawarkan   ialah  Catan, Seni  Halus, Seni  Arca,
           Seni  Seramik, Seni Tekstil(Batik), Seni Anyaman/Tenunan. Antara guru dan
           pelukis   keluaran   MPIK   ialah   Ahmad  Khalid,  Redza  Piyadasa,  Othman
           Mansur, dan Ismail Hashim. Bagi guru  cemerlang, mereka  ditawarkan untuk
           melanjutkan   pelajaran   ke   peringkat  ijazah  di luar  negara. (sekitar 60-an)

          Pada tahun 1960 juga ,satu jawatankuasa telah  mengkaji semula implementasi dasar pendidikan di bawah Ordinan Pendidikan 1957 yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib.Penyata Rahman Talib itu telah mengesyorkan; Menyediakan pendidikan universal selama 9 tahun dan menaikkan had umur berhenti sekolah dari 9-15 tahun.memberi pelajaran percuma kepada kanak-kanak di semua aliran sekolah mulai1962,
membanyakkan kemudahan pendidikan teknik dan vokasional,mengadakan pendidikan Agama Islam dan  Bahasa Melayu dijadikan bahasa teras seiring
dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan .Akta  Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan di Negara  ini.Justeru,
Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah diperkenalkan.Mata pelajaran
yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-murid  dalam KLSR ialah Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris,Matematik,Sains,Tawarikh,Ilmu Alam,Hal Ehwal Tempatan,Tata Rakyat,Jawi,Pendidikan AgamaIslam,Lukisan
 dan Pertukangan Tangan Pendidikan Jasmani dan lain-lain.

Perkembangan  Pendidikan  Selepas  Merdeka
                  
       Selepas merdeka, bermula dari tahun 1965,Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal dasar baru pendidikan.Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan ini,murid-murid  daripada darjah 1 hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali sebagai subjek wajib dan subjek elektif.
        Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah memainkan peranan yang positif dalam memperkembang Pendidikan Seni Visual.Hal ini dapat dilihat berdasarkan semakan  terhadap kurikulum Pendidikan Seni Visual itu sendiri yang telah beberapa kali melalui proses perubahan  .Perubahan-perubahan tersebut meliputi aspek falsafah,matlamat,objektif,pendekatan,kaedah dan isi kandungan subjek tersebut.Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat dilihat seawall pertengahan abad ke -19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan di Penang Free School dengan memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar yang mahir dalam kraf(Carline,(1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md.Nasir bin Hj.Ibrahim-Isu dan Pemasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual).

                      Persekolahan peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak KLSR sehinggalah kajian dibuat pada tahun 1974-1979 oleh  jawatankuasa yang diketuai oleh Dr.Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR.Laporan yang dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati KLSR sudah tidak relevan lagi dan perlu diganti dengan kurikulum yang baru.Implikasinya ialah, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan pada tahun 1982.Namun begitu,pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya.Lanjutan itu,KBSR  yang dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.Dari segi kurikulum,subjek-subjek yang sedia ada telah mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa depan termasuklah Pendidikan Seni Visual.
           Kini,sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi individu dan pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari serta sikap dalam menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan identiti bangsa.Perubahan-perubahan ini melibatkan falsafah,matlamat,objektif,pendekatan,kaedah, dan isi kandungan yang lebih mantap dan akan menarik minat lebih ramai pelajar.

            Dalam KBSR.Pendidikan Seni Visual merupakan subjek wajib yang mesti dipelajari oleh kesemua murid.Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal selaras dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Matlamat subjek Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh PFK pada tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis,kritis,kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual,Kandungan kokurikulum  berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap tuhan,menghargai keindahan alam persekitaran,keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara,selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.







KEPENTINGAN MATA PELAJARAN PSV DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI  MALAYSIA

          Matlamat sebenar Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis,kritis,kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual.Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan,menghargai keindahan alam persekitaran,keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri,keluarga,masyarakat dan negara,selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Pendidikan Seni Visual memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia.Malah seni itu sendiri boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat.Seni wajar diletakkan pada landasan yang betul dalam arena pembangunan manusiawi.
              Kefahaman yang cetek yang mengatakan seni tidak menjanjikan kerjaya yang baik perlu dikikis.Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada kita sedari atau tidak sebenarnya telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.Contohnya pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa iaitu pada zaman  kanak-kanak.Ibu bapa tanpa disedari telah mendidik anak-anak mereka mengenal alat-lat permainan yang mempunyai pelbagai warna dan beraneka jenis rupa bentuk.Kanak-kanak juga suka menconteng dan kesempatan ini digunakan untuk melahirkan ideanya.Bakat’melukis’ ini jika dipupuk dengan sebaiknya,dibimbing dan diberi galakan akan menjadikan kanak-kanak itu seorang pereka seni yang baik.









 Kepentingan Mata Pelajaran PSV kepada Guru

i.Melahirkan guru yang kreatif,peka,berketrampilan dan profesional
          
Dalam sistem pendidikan di Malaysia,kepentingan mata pelajaran PSV dapat ditinjau daripada dua aspek iaitu kepentingannya kepada  pendidik itu sendiri dan juga kepentingannya kepada pelajar dan negara .Antara kepentingan PSV kepada seorang pendidik ialah dapat melahirkan guru yang kreatif,inovatif,peka,berpesonaliti yang berketrampilan dan professional.
           Menurut Lernardo da Vinci iaitu seorang seniman,jurutera,anatomis dan           
           saintis menyatakan bahawa dengan penghayatan seni yang betul,ianya akan    
           memotivasikan kita untuk menjadi seorang guru yang kreatif,inovatif,
peka,berpersonaliti yang seimbang,berketrampilan dan profesional.Guru yang kreatif dan inovatif mampu menarik perhatian dan tumpuan pelajar untuk belajar dengan lebih yakin dan berkesan.Contohnya melalui aktiviti seni visual,muzik dan pergerakan,guru dapat membantu murid-muridnya melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran dan mendorong kanak-kanak menggunakan imaginasi,ekspresi,inkuiri dan kecerdasan kepada murid-murid dan ini akan lebih  menyeronokkan murid-murid tersebut.

ii.Membantu guru memahami diri dan persekitaran

         Selain itu,PSV juga dapat membantu guru melaksanakan dengan mudah proses pengajaran dan pembelajaran.Seni membantu para guru dalam memahami diri dan persekitaran.Aktiviti seni visual,muzik dan pergerakan memudahkan proses menghubungkaitkan semua benda dalam alam  ini.Dengan demikian,seni dapat membantu untuk mengaktifkan proses pembelajaran dan perpindahan pembelajaran.




iii.Lebih mudah mencapai objektif

            Seterusnya,melalui PSV juga seseorang guru itu lebih senang mencapai objektif  atau matlamat.Integrasi seni visual,muzik dan pergerakan dengan pelajaran lain membantu dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri dan otak kanan.Quadrant Concept(1999) oleh Herrmann menunjukkan perkembangan otak kiri dan otak kanan,menyatakan bahawa seni membantu pemikiran yang rasional dan intuitif seseorang terutamanya untuk guru agar mereka dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran  yang berkesan.Justeru,dengan pengetahuan tentang keistimewaan seni,guru senang mencapai objektif dan matlamat dalam pengajaran dan pembelajaran.
           
iv.Mempelbagaikan teknik dan strategi

            Di samping itu,guru juga dapat mempelbagaikan teknik dan strategi dalam pengajaran dan pembelajaran melalui PSV.Dalam  Teori Pelbagai Kecerdasan ,Howard Gardner (1983) mengesyorkan bahawa terdapat lapan jenis kecerdasan tetapi kebanyakan sekolah memberi penekanan terhadap kecerdasan linguistik dan matematik  sahaja.Kecerdasan lain mungkin akan hilang.Teori ini menyokong seni perlu  diberi peranan yang penting dalam kurikulum.Ini kerana manusia memperoleh pengetahuan melalui pelbagai kecerdasan dan juga melalui pelbagai teknik pengajaran.

           Oleh itu guru hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.PSV menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu.Dalam setiap kegiatan seni perkara seperti pemupukan nilai dan pemahaman unsur seni dihubungkaitkan dengan kemahiran asas seni.Cara bekerja yang teratur,cermat dan selamat dalam proses membuat sentiasa ditegaskan.


Kepentingan Mata Pelajaran PSV kepada Murid

i.Memupuk kreativiti Kanak-kanak
           Pendidikan Seni Visual memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan manusia.Antara kepentingannya ialah PSV dapat memupuk kreativiti kanak-kanak.Sifat semulajadi kanak-kanak memerlukan perhatian,belaian,sentuhan dan sebagainya.Tanpa kita sedari,perkembangan seni tampak kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali.Sebelum remaja,kanak-kanak mengalami tiga tahap perkembangan  seni tampak  iaitu peringkat manipulatif(2-5 tahun),peringkat melakar simbol-simbol(5-9 tahun) dan peringkat pra-remaja (10-13 tahun).Berdasarkan kajian ,perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak.Perbezaan mungkin timbul berdasarkan faktor persekitaran,bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan.Melalui proses –proses lakaran ini,tahap mental kanak-kanak akan berkembang.Oleh itu,proses membentuk kreativiti dari diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik.(Laura Chapman,1978)

ii.Memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar

         Apabila seseorang pelajar telah meningkat remaja sekitar 10-15 tahun,pengetahuan tentang seni semakin bertambah.Seseorang pelajar mulai cenderung untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Sekiranya mendapat bimbingan yang betul tentang seni,maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang.Menurut Lowenfeld dan Lambert(1965) peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting..kerana berlakunya persaingan. Pelajar yang lemah akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai bidang utama dalam proses membesar mereka.Sekiranya tidak dibimbing dan diberi penerangan yang betul,kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkubur.Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif ,mereka akan menjadi lebih berdisiplin,cekal dan berminat dengan subjek seni ini.Begitulah pentingnya mata pelajaran PSV dalam sistem pendidikan di Malaysia.

iii.Pengalaman optima  pembelajaran PSV meningkatkan keyakinan diri

         Pengalaman yang diperoleh melalui pembelajaran seni boleh membawa kepada keyakinan diri dan kemahiran belajar.Selaras dengan sains dan teknologi,PSV dapat membina keupayaan bagi menangani perubahan pesat yang sedang berlaku pada hari ini.Pengalaman yang diperolehi melalui seni sememangnya dapat mempengaruhi kehidupan kita.Contohnya,dari segi warna yang kita suka dan warna baju yang kita pakai.Warna yang lembut,terang ataupun gelap dapat mempengaruhi emosi dan tindakan kita terhadap sesuatu perkara atau tindakan.Apabila kita menggunakan pilihan warna yang lembut,ianya dapat memberi keyakinan dalam diri kita.Keyakinan akan membuka minda untuk mendapatkan kemahiran yang kita pelajari.

iv.Menggalakkan pembelajaran seumur hidup secara menyeluruh

        Mata pelajaran PSV juga dapat menggalakkan pembelajaran seumur hidup secara menyeluruh.Kreativiti semulajadi akan merangsang proses pembelajaran dan pengajaran.Ini menjurus kepada keperluan masyarakat yang kompleks dan kompetitif.Seni banyak dikaitkan dengan personaliti, sosial, ekonomi dan kebudayaan.Oleh itu,seni mampu mempengaruhi kita dalam membina sikap,keperibadian dan kemahiran intelektual mengikut kesesuaian masyarakat masa kini.Seni dapat memupuk disiplin diri. mengukuhkan’esteem’kendiri dan menggalakkan kemahiran berfikir dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan dan menyeluruh







v.Mengaplikasikan informasi secara berkesan-Belajar Cara Belajar
       
         Penggabungjalinan  bidang seni dengan pelajaran lain melengkapkan lagi  perkembangan otak kiri dan otak kanan, pada masa yang sama kanak-kanak belajar secara aktif dan menyeronokkan. Melalui seni, kita dapat mempelajari cara orang lain berfikir, bekerja dan mengekspresi kendiri. Justeru ,seni dapat mempengaruhi kita untuk membuat keputusan dalam pelbagai situasi. Pemerolehan ilmu seni dapat membantu kita belajar dengan lebih menyeronokkan dan mampu mengembangkan potensi individu dalam meneroka, hubung kait idea dengan objek dan di antara pemikiran dengan perlakuan kita.  


           Kepentingan Mata Pelajaran PSV kepada Negara
          
          i.Melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang
            
         Sebagai sebuah Negara yang sedang  membangun,kita amat memerlukan ramai tenaga profesional.Jurutera,arkitek,doktor,saintis dan peguam merupakan bidang kerjaya  yang amat diperlukan oleh Negara.Akibat kekurangan itu,kita terpeksa mengimport dari luar Negara.Dalam bidang kerjaya,seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka.Selain untuk memenuhi keperluan Negara,pelajar yang memilih bidang ini juga boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru.Menjadi seniman sepenuh masa contohnya.Walaupun Negara kita masih baru dalam bidang ini,namun telah terdapat ramai seniman yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion.




ii.Memupuk sifat kecintaan terhadap seni dan estetika.
    
       Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni  dapat dijadikan teras kepada pembentukana masyarakat.Seni ini boleh dijadikan  satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan.Pada hari ini,melalui sebuah agensi kerajaan,kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun.Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan.Antaranya Program Tahun Melawat Malaysia anujran Kemementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan.

               Selain daripada itu, terdapat pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong.Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi.Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh,terutamanya kesan penghayatan terhadap aktiviti yang dijalankan itu.Keghairahan kerajaan menganjurkan pertunjukan kebudayaan dan kesenian diharapkan tidak mengabaikan nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara.

           Gejala sosial yang berlaku hari ini,sedikit sebanyak berkait rapat dengan aspek penghayatan estetika.Estetika wajar dijadikan asas dalam aktiviti seni sama ada dari aspek pembangunan insan,pembangunan rohani dan jasmani,perkembangan dan bimbingan dalam kehidupan seharian.Kefahaman masyarakat terhadap kepentingan seni ini wajar diperbetulkan.Tanggungjawab mendidik masyarakat ke arah memahami kepentingan seni ini,bukanlah terletak di bahu guru Pendidikan Seni Visual semata-mata tetapi kepada semua anggota masyarakat.





iii.Memupuk perasaan sayang akan seni dan warisan dalam masyarakat
           PSV sangat penting bagi memupuk perasaan sayang akan seni dan warisan dalam masyarakat.Masyarakat kita memang kaya dengan warisan budaya.Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita.Pinggan mangkuk,peralatan memasak,ukiran kayu,seni batik dan tenunan atau tekstil,hamparan tikar mengkuang atau pandan,anyaman kelarai,seni rumah binaan kayu atau kampung ,seterusnya seni budaya sopan santun dan adat istiadat.Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan.Tidak ada lagi orang yang akan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut tetamu atau hamparan tikar mengkuang di ruang tamu.Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan ini.Justeru,melalui PSV adalah diharapkan agar perasaan sayang akan  seni dan warisan ini akan terus dipupuk dan tidak hilang ditelan zaman.

 v.Melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri
   
            Akhir sekali,PSV juga amat penting dalam sistem pendidikan kita khususnya bagi melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri.Budaya menunjukkan bangsa.Kata bidalan ini jelas menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat itu perlu meletakkan kepentingan budaya pada satu kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya.Mengekalkan kebudayaan supaya dikenali
Dan dihormati bukanlah satu tugas yang mudah.Kita boleh mengesan  sessuatu bangsa melalui perkembangan budayanya.Masyarakat yang mempunyai jati diri yang kuat akan berusaha untuk mengekalkan seni,budaya dan warisannya.Kita mestilah meletakkan tanggungjawab di bahu masyarakat akan kepentingan nilai seni dan estetika.Kefahaman dan tanggungjawab ini perlu dipupuk di peringkat awal lagi.Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang paling wajar.Peranan murid,. guru, atau pensyarah dan pihak Kementerian Pendidikan amat penting untuk merealisasikan  perkara ini.Semua ahli masyarakat  boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang adak kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah cita-cita yang murni.
 PERANAN GURU  DALAM MENJAYAKAN MATA PELAJARAN PSV

i.Guru PSV sebagai pelaksana dalam kurikulum yang telah diselaraskan.

              Dalam mencapai matlamat PSV  dan juga matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan,peranan guru amat penting terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Guru PSV hendaklah sentiasa  melaksanakan kurikulum yang telah diselaraskan dan  mengamalkan konsep 5P dalam pengajaran  dan pembelajaran. Konsep 5P merupakan aspek yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar dapat menyesuaikan maklumat dalam rangsangan serta menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh serta mengelakkan kebosanan dalam kalangan murid.Konsep 5P terdiri daripada proses penggabungjalinan kemahiran,penyerapan pengetahuan,penerapan nilai,pemulihan dan pengayaan;

           Penggabungjalinan

      Penggabungjalinan ialan satu proses yang menggabungjalinkan  pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang integratif dan menyeluruh.Pengabungjalinan
ini bertujuan membantu murid dalam penguasaan pelbagai kemahiran secara serentakdalam satu proses pengajaran dan pembelajaran.Ianya dapat meningkatkan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran,lebih menarik minat pelajara terhadap pengajaran dan pembelajaran,menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna kepada murid-murid dan memberi ruang serta peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid-murid secara seimbanga dan menyeluruh.


          Terdapat tiga bentuk penggabungjalinan iaitu penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran,penggabungjalinan kemhairan daripada mata pelajaran lain dan penggabungjalinan merentas kurikulum.Penggabungjalinan pelbagai kemahiran melibatkan kemahiran lisan atau pertuturan,membaca,menulis,mengira,berfikir,melukis,mewarna dan lain-lain.Contohnya guru meminta pelajar melukis lima buah -buahan tempatan,
kemudian mewarna buah-buahan tersebut.Oleh itu pelbagai kemahiran dapat diterapkan dalam aktiviti tersebut antaranya ialah kemahiran berfikir,melukis dan mewarna.Kemahiran utama yang guru tersebut perlu fokuskan ialah kemahiran melukis iaitu objektif utama pengajaran dan pembelajaran manakala kemahiran yang digabungjalinkan dengan kemahiran utama ialah mewarna dan berfikir.

      Bentuk penggabungjalinan seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain.Penggabungjalinan bentuk ini amat penting untuk meningkatkan kemahiran murid.Contohnya bagi mata pelajaran Kajian Tempatan pelajar perlu mengenali peta Malaysia.Oleh itu pelajar perlu melukis dan mewarna peta Malaysia mengikut nama-nama negeri yang terdapat dalam Malaysia.Kemahiran dalam PSV seperti melukis dan mewarna digabungjalinkan dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

         Akhir sekali,bentuk penggabungjalinan merentas kurikulum.Penggabung
-jalinan ini melibatkan kemahiran belajar untuk belajar,kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis,kemahiran menyelesaikan masalah,kemahiran pelbagai kecerdasan dan kemahiran generik.Penggabungjalinan merentas kurikulum bermaksud penggabungjalinan kemahiran di luar pembelajaran.Contohnya dalam menghasilkan kraf tangan,pelajar haruslah berfikir secara kreatif dankritis bagaimana hendak menghasilkan kraf yang menarik.



           Penyerapan
             Penyerapan pengetahuan pula adalah proses menyebatikan dan menyatupadukan pengatahuan atau unsur isi pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran yang diajar.Penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukan kemahiran.Antara kelebihan penyerapan pengetahuan dalam PSV ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya bersifat sebaliknya.Selain itu,aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif dan efektif.Seterusnya dengan pemilihan isi pengetahuan yang menarik daripada mata pelajaran lain akan menjadikan murid lebih ceria,bersemangat dan progresif.Akhir sekali,murid-murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang dipelajarinya dengan penyerapan,hubungkait dengan pengetahuan daripada mata pelajaran lain.Dalam mata pelajaran PSV,guru boleh menambahkan ilmu pengetahuan dari mata pelajaran lain dengan mnceritakan serba sedikit tentang sejarah Seni Visual serta tokoh-tokoh terkenal dalam esei.Oleh itu,guru tidaklah semata-mata mengajar kemahiran-kemahiran mewarna dan melukis sahaja.

Penerapan nilai-nilai murni

      Penerapan nilai-nilai murni ialah proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum.Penyerapan nilai-nilai murni berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan pendekatan eksplisit.Melalui pendekatan implisit,guru-guru secara tidak langsung menerapkan sesuatu  nilai.Contohnya guru berpakaian bersih dan kemas menjadi contoh kepada para pelajar.Pendekatan secara eksplisit pula ialah mengadakan suatu peraturan,arahan dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan.Penerapan secara eksplisit adalah lebih terancang,dengan matlamat dan cara pelaksanaan serta  penilaian yang jelas.Dalam konteks PSV,guru tersebut boleh meminta sekumpulan pelajar mengemas bilik seni sekolah.Secara tidak langsung ini dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti kerjasama,ambil berat dan sikap toleransi.
 Pengayaan

       Pengayaan ialah satu aktiviti  yang lebih mencabar keboleham pelajar di samping menambah minat dan pengalaman pelajar yang seterusnya dapat membantu pelajar ke arah perkembangan dan bakat diri.Pengayaan juga dapat membuat pelajar berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sikap berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta melahirkan daya keativiti menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri.Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang untuk pelajar mengembangkan minat,daya kreativiti,sifat ingin tahu,kepimpinan serta daapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri,kumpulan dan juga masyarakat.Dalam mata pelajaran PSV,guru boleh mempelbagaikan aktiviti pembelajaran mengikut bidang-bidang tertentu untuk meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran PSV.Aktiviti tersebut haruslah mencabar serta menguji kemahiran pelajar supaya pelajar dapat melahirkan daya kreativiti tersendiri.
         
           Pemulihan 

           Pemulihan  pula bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran. Melalui pendidikan  pemulihan pelajar yang lemah dapat diasuh dan diberi tumpuan yang lebih berbanding pelajar-pelajar lain.Contohnya dalam PSV pelajar yang kurang berkemahiran  dalam melukis akan diajar mengikut teknik-teknik yang sesuai secara berulang kali.Pelajar juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi diri mereka dalam pelajaran dan minat untuk mencuba  sehingga ke tahap yang lebih maju.
 





ii. Guru PSV sebagai pengurus

            Selain dari mengamalkan konsep 5P dalam pengajaran dan pembelajaran,guru PSV juga perlulah memainkan peranan dalam pengurusan terutamanya dari segi menghasilkan ruang atau bilik studio khusus yang memberi impak yang maksimum kepada pelajar.Ini kerana kekuatan PSV di sesebuah sekolah terletak kepada guru PSV itu sendiri dan tempat operasi iaitu Bilik/Studio PSV.Perkara yang ditegaskan dalam bidang penghasilan seni visual adalah kegiatan kreatif yang melibatkan benda-benda yang dapat disentuh,dilihat dan diimaginasi bagi menggalakkan perkembangan persepsi dan daya intuisi.Dengan ini diharapkan fahaman nyata dan abstrak dapat diselaraskan dan pemupukan minat terhadap PSV dapat dikembangkan.Sebagai seorang pengurus,guru PSV juga perlu merancang dan mengurus proses pengajaran dan pembelajaran termasuk menggariskan matlamat pembelajaran,merancang strategi yang sesuai serta mengurus tingkah laku pelajar,mentaksir serta menilai  hasil pembelajaran.Guru PSV juga perlu menguruskan bahan bantu pengajaran dan pembelajaran,bertanggungjawab ke atas bahan dan peralatan, serta menjalankan aktiviti luar.

iii. Guru PSV sebagai pembimbing

          Selain pengurus,guru PSV juga perlu menjadi seorang pembimbing demi menjayakan dan memantapkan lagi mata pelajaran PSV .Para pelajar
hendaklah dibimbing dengan sepenuh perhatian.Sekiranya  pelajar menghadapi sebarang masalah dalam menguasai kemahiran,maka guru hendaklah mengadakan aktiviti pemulihan bagi membantu pelajar tersebut menguasai kemahiran.Bagi pelajar yang telah menguasai kemahiran,guru berperanan melaksanakan aktiviti pengukuhan dan pengayaan  untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.


          iv.Guru PSV sebagai pemudah cara
         Guru PSV juga berperanan sebagai pemudah cara.Guru hendaklah melaksanakan pengajaran berteraskan ansur maju dan mengelolakan aktiviti pembelajaran mengikut tahap kebolehan pelajar.Sebagai pemudahcara,guru  perlu memudahkan pemahaman pelajar tentang konsep yang diajar dengan mengaitkannya dengan situasi sebenar dalam kehidupan pelajar.Guru juga perlu menerapkan pemahaman,penghayatan dan kritikan tentang perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid.

v.Guru PSV sebagai motivator
          Di samping itu,guru PSV juga berperanan sebagai motivator yang menjalankan aktiviti bina semangat dan membentuk keyakinan diri pelajar.Guru PSV juga bertanggungjawab dalam pemupukan minat pelajar dalam bidang artistic sepaya pelajar berkeinginan untuk menghasilkan karya-karya yang bersifat lakaran dan memperlihatkan kepentingan konsep seni visual.Guru juga seharusnya berusaha untuk merangsang dan menggalakkan pelajar ke arah kecemerlangan diri,membawa perubahan kepada diri pelajar,memberi dorongan dan bimbingan dan membantu pelajar dalam menyelesaikan masalah sosio dan emosi pelajar.Guru-guru juga perlulah membantu pelajar menghadapi cabaran masa depan dalam Pendidikan Seni Visual.

vi.Guru PSV sebagai inisiator

             Akhir sekali,guru PSV juga boleh memainkan peranan sebagai inisiator dalam pengajaran dan pembelajaran PSV.Guru boleh merangsang pemikiran murid yang bercapah,mengemukakan soalan yang mampu menjana pemikiran kreatif dan kritis,menyokong aktiviti penyelesaian masalah,menyarankan kolaboratif dan koperatif melalui kerja kumpulan.Guru PSV juga perlu menggalakkan pelajar-pelajar melaksanakan pemerhatian aktif,interaksi yang kreatif dengan alatan serta aspresiasi seni.      
         Sesungguhnya,peranan guru PSV amat penting dalam menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran PSV di sekolah.Ketrampilan,
kewibawaan dan komitmen guru merancang,mengurus,melaksana,menilai dan membuat penambahbaikan dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajarannya merupakan langkah-langkah ke arah kecemerlangan.

 AKTIVITI PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
             
        Bagi memantapkan isi kandungan mata pelajaran PSV ,selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan maka pelbagai perubahan telah dilakukan terhadap sukatan pelajaran dan kandungannya termasuklah dari segi aktiviti pembelajarannya.Aktiviti Pendidikan Seni Visual sekolah rendah terdiri daripada empat bidang utama  iaitu:

i.Melukis dan membuat gambar
     
         Bidang ini menegaskan  perkembangan persepsi terhadap aspek melukis serta kegiatan menggunakan pelbagai media dan teknik dengan menekankan aspek ruang,struktur,imbangan dfan komposisi.Penguasaan gambar akan menjadi lebih baik dan menarik sekiranya ada kepelbagaian bahan dan teknik yang diaplikasikanrajah 1.1 menunjukkan teknik –teknik tersebut.Dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah,kandungan subjek atau hal benda disesuaikan dengan pengalaman sedia ada pelajar untuk merangsang dan meningkatkan  [pembelajaran.Dalam aktiviti menggambar,kanak-kanak dapat menggunakan berbagai-bagai alat dan bahan untuk menghasilkan gambar mengikut cara ekspresinya yang tersendiri.Ini membantu perkembangan pelajar dari aspek psikomotor dan emosi dan penting dari segi keperluan fisiologi dan psikologi pelajar.Rajah 1.1 :menunjukkan teknik menggambar yang sering digunakan di bilik darjah(Rujuk Lampiran)


           ii.Membuat rekaan  dan corak
         Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain.Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada kegiatan lain seperti binaan,kraf dan sebagainya.Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara.Corak ialah struktur susunan ulangan berdasarkan motif yang dibuat secara  terkawal atau bebas.Seringkali corak didapati daripada;alam semula jadi,bahan buatan manusia ,geometri dan rupa barangan kraf tradisional .
        Jenis susunan  corak pula terdiri daripada penuh,turun satu suku,turun tiga suku,turun separa ,sisik ikan.selang seli,tampak dam dan tampak catur,siku keluang,pucuk rebung,orgee,batu-bata,tunggal,berpusat,sendeng,
berombak,jidar,berjalur,dan cerminan.Teknik corak pula terdiri daripada dua jenis iaitu yang dibuat secara terancang dan tidak terancang.Ia bergantung kepada kesesuaian motif dan tujuan corak itu dihasilkan.Rajah 1.1. dan 1.1
menunjukkancorak-corak tersebut.

iii.Membentuk dan membuat binaan

         Membentuk dan membuat binaan menegaskan perkembangan persepsi pelajar tehadap aspek seni dari segi bentuk,ruan ,struktur,imbangan dan kestabilan.Berpandukan aspek tersebut,pelajar dapat memahami denngan lebih jelas apabila mereka membentuk dan membuat binaan sesuatu model.Bidang kegiatan ini juga  mendedahkan pelajar dengan penggunaan pelbagai bahan,alat dan teknik penghasilan.Ini member peluang kepada pelajar berinteraksi secara aktif dengan alat dan bahan semasa menjalankan proses penghasilan seni.Bidang membentuk dan membuat binaan di sekolah rendah merangkumi arca timbul,arca asemblaj,arca bergerak,arca stabil,model,diorama,boneka,topeng dan origami.
Tema dan subjeknya pula meliputi alam semulajadi,perasaan dalaman,khayalan dan imaginasi si pelukis,aliran dan tema sejagat serta keperluan dan pengalaman harian.
           iv.Kraf tradisional
       Kraf tadisional  boleh didefinisikan sebagai perusahaan atau kerja-kerja berunsurkan seni yang melibatkan kemahiran kerja tangan serta memerlukan daya cipta dan kreatif masyarakat yang diwarisi turun temurun mengikut kaum masing-masing.Antara jenis-jenis kraf termasuklah alat domestik,alat permainan,alat mempertahankan diri,batik,seni tekat,tembikar,anyaman,
kelarai dan ukiran.Rajah 1.1 menerangkan tentag apa yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti kraf tradisional.(Lampiran)

APRESIASI SENI
        Apresiasi seni merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran PSV. Apresiasi seni adalah proses penghayatan seni yang merangkumi aspek-aspek pengetahuan,membuat pertimbangan,penyataan diskriminasi dan penghargaan terhadap karya seni. Apresiasi seni juga menitikberatkan aspek kritikal serta aspek emosional terhadap karya seni.Menjalankan proses apresiasi seni sebenar tidak sukar kerana proses ini boleh diumpamakan sebagai memberi penghargaan terhadap karya  seni.Menurut Ecker(1966),pendekatan apresiasi seni dapat memberikan penghargaan yang menyeronokkan terhadap karya seni,dilakukan secara naratif dan tersusun untuk memahami sesuatu karya seni.Ia mencakupi aspek pengetahuan,penilaian,diskriminasi,dan juga kesedaran emosi terhadap karya seni.
         Pendekatan ini juga diperlukan untuk memberikan penilaian estetika dan artistik untuk setiap karya seni yang dihasilkan. Apabila seseorang itu  menjalankan proses apresiasi seni,proses ini tidak akan menyentuh soal-soal berkaitan betul atau salah interpretasi individu tersebut mengenai karya seni,kerana tujuannya adalah untuk memahami karya melalui apa yang dilihat secara lansung.Seabolt(2001) menjelaskan bahawa aktiviti kritikan seni melibatkan perbincangan dan diskusi mengenai sesuatu karya seni manakala apresiasi seni pula merujuk kepada aktiviti menghayati seni dengan melibatkan pengetahuan berkaitan dengan sejarah seni dan perbincangan serta diskusi mengenai seni.
         Di samping itu ,konsep dan pelaksanaan apresiasi seni juga bertujuan untuk membina tatabahasa visual dan meningkatkan daya estetik seseorang.Pengalaman estetik akan meningkat kerana proses ini juga mendedahkan seseorang itu dengan bahasa tampak yang membantu menyelami perasaan penghasil karya.Apresiasi seni mengajar pengkritik dan pemerhati seni menghargai rasa dan perasaan seniman(Johari Abdul Hamid,2004).Apresiasi seni terbahagi kepada enam peringkat iaitu peringkat analitikal,peringkat penerangan,konteks dan skop,aspek assosiasi,aspek kritikal dan aspek hubungan baik.

            Pada peringkat analitikal,aspek kenal pasti yang paling mudah ialah menyatakan aspek-aspek seperti tajuk karya,jenis karya,pereka atau seniman karya,tarikh dihasilkan,asal-usul karya,gaya,medium yang digunakan,teknik dan fungsi karya.(Rujuk Lampiran).Pada peringkat penerangan pula,terdapat tiga peringkat.Peringkat penerangan Literari digunakan ke atas karya seperti potret,lanskap,lukisan objek dan lain-lain.Contohnya ,karya Monalisa menggambarkan seorang wanita yang sedang terukir senyum di bibirnya.Penerangan literari ini terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu penerangan teknikal dan penerangan formal yang melibatkan penggunaan teknikal dan bahan oleh pengkarya serta struktur fizikal seperti aspek warna,garisan,jalinan,bentuk,rupa dan lain-lain.

          Sesungguhnya,peranan apresiasi seni dalam PSV sangat penting.Apresiasi seni juga memberi pengalaman kepada pelajar mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi.Tanpa apresiasi seni,pelajar tidak dapat membuat pertimbangan yang penting apabila melihat karya seni sama ada seni lukis,seni reka atau bidang seni visual yang lain.Apresiasi seni juga dapat membantu seseorang daripada membuat penilaian yang singkat atau yang pendek sebelum membuat penilaian atau kritikan yang munasabah.
   

           HASIL KERJA MURID                                         

              Mengapakah hasil kerja murid perlu dipamerkan?Jika hendak dipamerkan,apakah pula kriteria pemilihan hasil kerja yang hendak dipamerkan tersebut? Inilah dua persoalan penting yang perlu diambil kira oleh seseorang guru PSV yang berwibawa.

           Persoalan penting dalam mempamerkan hasil kerja murid adalah bagaimana hendak memilih hasil kerja untuk dipamerkan.Kriteria pemilihan hasil kerja murid perlu melihat kepada dua perkara iaitu dari sudut pedagogi dan juga nilai estetik.Pemilihan perlu melihat kepada aspek pedagogi yang melihat kepada keberkesanan dan penyampaian proses dan kaedah menghasilkan karya tersebut.Faktor nilai estetik dilihat dari sudut pencapaian objektif penghasilan karya tersebut sama ada ianya dihasilkan bertujuan untuk kelihatan cantik atau sebaliknya.Murid-murid gemar melihat karya mereka dan karya rakan-rakan mereka dipamerkan untuk tatapan umum.Murid-murid merasakan komitmen dan usaha yang mereka telah sumbangkan bagi menghasilkan karya tersebut diberi penghargaan.Atas dasar inilah,hasil kerja murid amat  perlu dipamerkan.

           Sungguhpun ruang yang terdapat pada papan buletin pameran sangat terhad,guru perlu bijak untuk mengatur dan merancang giliran dan membuat pilihan yang bijak dalam pemilihan karya supaya pameran tersebut mencerminkan satu tanda aras yantg perlu dicapai oleh murid.Hasil karya murid yang dipamerkan memberikan  mereka satu rangsangan yang mendalam terhadap keupayaan mereka(Koster,2001). Murid menitikberatkan soal kualiti hasil karya dan cuba untuk menghasilkan yang terbaik  supaya karya yang dihasilkan terpilih untuk dipamerkan.Dalam erti kata lain,usaha mempamerkan hasil karya oleh guru dapat dijadikan satu bentuk motivasi kepada murid.Guru juga perlu melihat hasil karya murid sebagai satu proses memantau prestasi selain membantu murid  mencapai tahap yang dikehendaki.
RUMUSAN

      Setelah meneliti sejarah perkembangan kurikulum Pendidikan Seni Visual
dari zaman sebelum merdeka,selepas merdeka sehingga kini maka jelaslah kepada kita bahawa mata pelajaran Pendidikan Seni Visual telah diletakkan di tempat yang sewajarnya berdasarkan keperluannya pada masa kini.Kalau dahulu tujuan kerajaan bukanlah untuk mewujudkan segelintir pemuda yang berpendidikan baik atau sekadar untuk menjadi mandur sahaja kini segalanya telah berubah.Kurikulum persekolahan kebangsaan kini mendukung hasrat mulia Negara bagi menyediakan pendidikan yang bertaraf  dunia kepada generasi masa kini dan masa hadapan.Adalah diharapkan dengan adanya penyemakan semula kurikulum Pendidikan Seni Visual,maka tiada lagi suara-suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dan kefahaman cetek yang mengatakan bidang seni tidak menjanjikan kerjaya yang baik dapat dihapuskan.

         Kepentingan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sememangnya tidak dapat disangkal lagi.Ianya bukan sekadar keperluan dalam meningkatkan kreativiti murid-murid malahan mampu memberikan sumbangan untuk pembangunan negara dengan menghasilkan ramai tenaga profesional seperti jurutera,arkitek,doktor,saintis atau seniman yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi.Tambahan pula,dengan lahirnya guru-guru Pendidikan Seni Visual yang mempunyai bakat serta efektif,proaktif dan mempunyai kualiti peribadi yang tinggi akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah.Keterampilan,kewibawaan dan komitmen guru merancang,mengurus,melaksana,menilai dan membuat penambahbaikan dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajarannya merupakan langkah-langkah ke arah kecemerlangan.
         







                                                    Lukisan
           Mozek                                                                         Catan
       Capan                                   TEKNIK                                           Kolaj
                                                MENGGAMBAR
   Gurisan                                                                                             Montaj
         Percikan                                                                                 Cetakan
             Stensilan                                                                  Resis
                                                   Gosokan

2 comments:

  1. assalamualaikum cikgu,
    bleh bg taw kt saya jika diberi tajuk "Pentaksiran Kendiri PSV", apa yg ptot sy kmukakan ya??

    ReplyDelete
  2. asslamualaikum cikgu..
    mohon informasi diguna..:-)

    ReplyDelete