WAJ 3106

TAJUK  1 : HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
LATIHAN MODUL (  m/s 3 )
Soalan : Anda dikehendaki menjelaskan konsep integrasi dan asimilasi dalam konteks memupuk perpaduan nasional
            Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama. serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air.Perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama amat diperlukan untuk menjana kemajuan. Dalam membentuk perpaduan kaum, kerajaan perlu menjalankan dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia menjadikan dasar ini sebagai pegangan mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni.
            Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu melalui integrasi dan asimilasi. Konsep Integrasi adalah satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang diterima oleh semua kelompok etnik dalam negara. Identiti, hak dan budaya hidup sesuatu kelompok etnik tidak dihapuskan tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia, integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
            Terdapat  6 bentuk integrasi yang wujud di negara kita . Antaranya ialah intergrasi wilayah. Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang mengandungi 14 negeri.Perkembangan sosio-ekonomi tiap-tiap negeri ini tidak seimbang dan setara di antara satu sama lain.Oleh yang demikian ,maka wujudlah keadaan di mana terdapatnya negeri-negeri maju dan negeri-negeri yang kurang maju di negara ini.Oleh itu ,strategi pembangunan untuk Integrasi wilayah  adalah untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi dan struktur di antara wilayah-wilayah dalam negara ini.Struktur ini dilaksanakan atas asas keupayaan setiap wilayah atau negeri untuk menggerakkan pembangunan sektor pertanian dan perusahaan khususnya di negeri-negeri yang kurang maju.Integrasi wilayah ini sangat penting agar hilang rasa kebencian, cemburu antara satu sama lain dan wujudnya perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.. Sebagai contoh, jurang dalam aspek pembangunan ekonomi dan kemudahan sosial.  Jika di wilayah semenanjung terdapat kemudahan pendidikan tinggi maka di wilayah timur juga turut didirikan institusi tersebut seperti adanya Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sabah dan Sarawak, Universiti Malaysia Sabah / Sarawak. Begitulah juga dalam aspek lain.
            Bentuk integrasi yang kedua ialah Integrasi ekonomi .Proses perkembangan ekonomi dirangka untuk membolehkan semua kumpulan kaum menyertai semua bidang dan peringkat ekonomi.Kerajaan telah melaksanakan proses ini melalui Dasar Ekonomi Baru(DEB).Dasar ini mengandungi dua matlamat utama iaitu pengambilan pekerja-pekerja di berbagai-bagai sektor ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan.Kedua,hak milik harta-harta produktif yang terdapat di dalam negara ini disusun  semula supaya pada tahun 1990 orang Melayu akan dapat memiliki  sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hak milik tersebut.Untuk mencapai matlamat ini,penyusunan semula tenaga mengikut susunan kaum di negara ini adalah satu tindakan yang penting.Kepentingan ini amat perlu memandangkan proses penjajahan Inggeris telah mewujudkan perbezaan yang ketara dari segi penyertaaan kumpulan kaum majoriti di dalam berbagai-bagai sektor ekonomi di Malaysia..Dengan terhapusnya perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum akan dapat mewujudkan perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di samping meninggikan taraf pembangunan ekonomi negara.
            Bentuk integrasi yang ketiga ialah integrasi kebudayaan. Hal ini perlu dilakukan kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik / kaum seperti Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lagi di Sabah dan Sarawak. Kaum Mijorriti ialah orang Melayu dan yang lain merupakan kaum minoriti. Intergrasi kebudayaan ini penting dalam usaha membentuk kebudayaan kebangsaan iaitu satu kebudayaan yang diterima oleh semua kaum di Malaysia. Matlamat utamanya ialah perkongsian budaya yang sama dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kerajaan turut melaksanakan dasar kebudayaan kebangsaan sebagai platform kea rah tersebut.
            Seterusnya ialah intergrasi sosial. Integrasi ini merupakan satu langkah bagi mewujudkan satu kelompok atau komuniti yang terdapat pelbagai kaum dalam satu – satu kelompok masyarakat seperti dalam program/ projek perumahan, sukan, pendidikan dan kesihatan. Dalam proses pemilikan rumah,misalnya imbangan pemilikan rumah dalam kalangan berbagai kaum adalah penting.Ini kerana,sekiranya wujud sesuatu keadaan di mana kadar pemilikan  perumahan dimonopoli oleh satu-satu kaum tertentu sahaja,maka akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan kaum-kaum yang lain.Ini akan merumitkan lagi proses perpaduan rakyat.Oleh itu,dalam program pembangunan perumahan adalah penting diwujudkan kadar pemilikan perumahan yang seimbang dalam kalangan kaum-kaum di negara ini.Sebagai contoh dalam projek perumahan, kerajaan telah memberi penetapan bahawa kawasan perumahan yang didirikan perlu dimiliki oleh pelbagai kaum mengikut peratusan yang tertentu. Harapan utama dalam hal ini, komunikasi antara kaum akan berlaku lantas mengukuhkan perpaduan di Malaysia. Begitulah juga integrasi sosial dalam sukan. Kita tidak mahu sesuatu permainan itu dimonopoli oleh satu – satu kaum sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai kaum. Contohnya dalam permainan ping pong, bola keranjang dan bola tampar, dahulunya dikuasai oleh pemain berketurunan Cina namun kini sudah ada orang Melayu dan India mula menyertai permainan – permainan ini.
            Integrasi pendidikan merupakan salah satu bentuk integrasi yang sangat penting. Integrasi pendidikan bertujuan mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan dan sempurna dari segi intelek, jasmani dan rohani. Sistem pendidikan yang berlandaskan falsafah pendidikan kebangsaan  , berhasrat untuk mewujudkan keselarasan dalam pendidikan. Sistem ini digubal supaya dasar-dasar dan program-program pendidikan dan latihan yang diadakan di semua peringkat persekolahan,kolej dan universiti akan tertumpu kepada perpaduan.Ini kerana pendidikan merupakan proses penting bagi menyemai dan memupuk benih-benih perpaduan dalam kalangan generasi muda,di samping menjadi daya penggerak bagi melahirkan warganegara yang berdisiplin.Di negara kita kini terdapat sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan namun dalam masa yang sama pengintegrasian pendidikan turut diwujudkan. Kerajaan juga turut melaksanakan memperkasakan sekolah kebangsaan yang merupakan satu tindakan untuk menggalakkan kaum lain menghantar anak – anak ke sekolah kebangsaan. Apabila penyertaan pelbagai kaum dalam sekolah kebangsaan satu aliran,ini  akan pasti memantapkan perpaduan dalam kalangan pelajar.
            Seterusnya integrasi politik.Seperti juga negara-negara moden yang lain,Malaysia mempunyai berbagai-bagai kumpulan kaum yang berbeza dari segi agama,wilayah,pekerjaan dan kepentingan-kepentingan lain.Oleh itu tugas pentadbiran politik yang utama ialah untuk mewujudkan satu suasana politik yang stabil supaya masyarakat majmuk di negara ini dapat hidup aman dan makmur.Satu kaedah yang mana perpaduan politik negara dapat diwujudkan ialah menerusi konsensus atau persetujuan rakyat.Sistem pilihanraya diadakan setiap lima tahun sekali supaya rakyat dapat memilih pemimpin-pemimpin politik pilihan mereka.Pemimpin-pemimpin politik yang memerintah negara ini hendaklah sentiasa mengamalkan semangat perundingan dan kerjasama dalam kalangan parti-parti politik bagi memastikan penyertaan bersama dalam proses pemerintahan negara.Ini dapat dibuktikan pada peringkat awal di mana parti-parti orang Melayu iaitu UMNO,parti-parti orang-orang Cina MCA dan parti orang-orang India MCA telah bergabung untuk melahirkan parti Perikatan. Gabungan ini telah dapat mewujudkan kerjasama antara  tiga buah parti politik yang terbesar di negara ini.
Kesan daripada proses ini telah memberi kestabilan dan taraf pencapaian yang tinggi dalam perpaduan dan pembangunan negara.Untuk memperluaskan asas perpaduan dalam pentadbiran politik negara,struktur perikatan parti  UMNO.MCA,dan MIC telah diperluaskan dengan penubuhan Barisan Nasional.Terdapat juga beberapa buah parti yang dahulunya menjadi parti pembangkang,turut menyertai Barisan Nasional.Parti-parti ini telah berikrar untuk bekerjasama  bagi melaksanakan proses pembangunan negara.Persetujuan-persetujuan politik yang telah dicapai oleh parti-parti di dalam Barisan Nasional ialah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam bidang ekonomi,politik,pendidikan,sosial dan kebudayaan.Masalah-masalah ini diselesaikan menerusi meja rundingan.Dengan wujudnya kerjasama,persefaham dan persetujuan di kalangan berbagai-bagai parti politik,maka lahirlah suasana yang tenteram dan perpaduan politik yang kukuh.Secara rtingkasnya,integrasi politik bermakna integrasi antara berbagai-bagai parti politik supaya asas-asas pertikaian dan pertelingkahan dapat dibanteras bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur.

            Proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah suatu yang mudah. Menurut Ting Chew Peh (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedekatan bermula dengan hubungan terpisah iaitu segregasi sehinggalah hubungan berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Perhubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai. Perhubungan ini seterusnya mampu mengurangkan konflik dan mengutamakan persefahaman serta mewujudkan perasaan harmonis antara pelbagai etnik.
            Manakala asimilasi pula ialah satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.Konsep Asimilasi adalah satu proses percantuman dan penyatuan antara kelompok atau individu dari berlainan kebudayaan supaya menjadi satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Konsep ini berhubung dengan penyerapan sehala individu atau kelompok kedalam kelompok yang lain. Satu proses yang berlaku apabila mana-mana kelompok berfikir, berperasaan secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimlasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Formula: A+B+C = A.
A mewakili golongan dominan, B dan C mewakili kumpulan etnik minoroti. Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik yang berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan proses asimilasi bergantung kepada beberapa faktor penting seperti kesanggupan golongan minoriti untuk menghilangkan identiti mereka, kesanggupan golongan majoriti untuk menerima golongan lain, terdapat banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik. Proses asimilasi juga berkait rapat dengan saiz kumpulan minoriti, tingkat perbezaan diantara golongan minoriti dengan majoriti dan juga kadar imigrasi.

 Umumnya, kumpulan minoriti yang bilangan anggotanya lebih kecil mudah diasimilasikan berbanding kumpulan minoriti yang bilangan anggotanya besar. Minoriti yang mempunyai kebudayaan dan tradisi yang jauh berbeza daripada golongan majoriti sukar diasimilasikan. Contohnya, di Thailand orang Melayu mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa, cara hidup kecuali agama disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, proses asimilasi berlaku bagi masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya. Namun asimilasi bagi etnik Cina Kelantan serta Baba dan Nyonya berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.

2 comments: